12 Dec 2009

FORMULA 10 + 2 BILANGAN MATA PELAJARAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA

FORMULA 10 + 2
BILANGAN MATA PELAJARAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA


1. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Jun 2009 telah membuat keputusan bahawa mulai tahun 2010 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadkan untuk mengambil maksimum 10 mata pelajaran kecuali murid-murid aliran agama sains yang boleh mengambil 11 mata pelajaran sehingga tahun 2010 sahaja.

2. Kerajaan telah menerima pandangan pelbagai pihak yang mendakwa keputusan itu menyebabkan murid Cina dan murid India terhalang daripada mengambil mata pelajaran Bahasa Cina atau Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan Tamil.

3. Sukacita saya maklumkan bahawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Disember 2009, kerajaan telah bersetuju menerima rayuan pelbagai pihak agar murid dibenarkan mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan SPM mulai tahun peperiksaan 2010. Dua mata pelajaran tambahan tersebut adalah Bahasa Cina atau Bahasa Tamil DAN Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan Tamil. Sehubungan dengan keputusan ini, murid juga dibenarkan mengambil Bahasa Arab sebagai salah satu mata pelajaran tambahan.

4. Formula 10 + 2 ini bermaksud dasar mengehadkan 10 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM yang diputuskan terdahulu, adalah kekal tetapi kelonggaran diberi kepada murid untuk mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan seperti dinyatakan di atas sahaja. Kelonggaran ini boleh diguna pakai untuk semua murid di semua aliran. Syarat-syarat lain pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif sedia ada, juga kekal.

5. Selain maksud yang dinyatakan dalam perenggan 4 di atas, Formula 10 + 2 diterima oleh kerajaan dengan syarat-syarat berikut:

(i) mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional Tajaan Kerajaan sekiranya ianya termasuk dalam 10 matapelajaran maksimum yang diambil oleh murid.

(ii) mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dalam pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di IPTA.

(iii) kedua-dua mata pelajaran tambahan itu boleh digunakan bagi menyertai latihan perguruan untuk menjadi guru bahasa Cina atau bahasa Tamil atau bahasa Arab.

(iv) keputusan dalam peperiksaan SPM bagi kedua-dua mata pelajaran tambahan itu akan dicatatkan di atas sijil SPM yang sama.

6. Dengan formula 10 + 2 ini, tidak timbul lagi masalah murid yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil. Mereka boleh mengambil mana-mana satu atau dua mata pelajaran tambahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas.

7. Murid aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab (lihat lampiran) walaupun selepas 2010. Kumpulan yang mewakili sekolah agama dalam beberapa pertemuan dengan KPM menyatakan 11 mata pelajaran telah mencukupi.

8. Keputusan kerajaan membenarkan dua mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan SPM ini adalah selaras dengan peruntukan Akta Pendidikan 1996 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin bin Hj. Mohd Dom

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

7 Disember 2009

_______________________________________________________________
 
Contoh pilihan mata pelajaran murid aliran sains dan murid aliran agama sains


Aliran Sains

1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sejarah
5. Pendidikan Moral
6. Fizik
7. Kimia
8. Biologi
9. Matematik Tambahan
10. Prinsip Akaun

Mata pelajaran tambahan

1. Bahasa Tamil
2. Kesusasteraan Tamil

Aliran Agama Sains

1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sejarah
5. Fizik
6. Kimia
7. Biologi
8. Matematik Tambahan
9. Pendidikan Quran dan Sunnah
10. Pendidikan Syariah Islamiah

Mata pelajaran tambahan

1. Bahasa Arab

Nota: Mata pelajaran tambahan TIDAK boleh diganti dengan mata pelajaran lain selain Bahasa Cina/BahasaTamil/Bahasa Arab dan Kesusasteraan Cina/Kesusasteraan Tamil

(sumber : laman web kpm)

No comments:

Post a Comment